Advertlets

PINK

snow

Sabtu, 29 Disember 2012

2012 Penuh Drama


Satu hari lagi berlabuh tirai 2012. Bermacam perkara pastinya meninggalkan kenangan manis, menyentuh hati dan yang mendukacitakan. Bukan di gelanggang industri kita, sememangnya di Hollywood sendiri, pelbagai isu kontroversi serta kejayaan besar turut menghiasi lembaran buku tahun ini.


Bermula dengan kegemilangan penyanyi British, Adele menakluk dunia termasuk Amerika Syarikat (AS) berbekalkan karyanya dalam album 21 serta suara emasnya, lantas dia mendominasi Anugerah Grammy 2012 dengan membolot enam anugerah kesemuanya, Februari lalu. 




Penyanyi Set Fire To The Rain itu juga membuat pengakuan mengejut apabila disahkan mengandung anak lelaki hasil perhubungan dengan pasangannya, Simon Konecki dan melahirkannya Oktober lalu.

Tragik dan memilukan, umpama bertimpa, satu lagi kehilangan besar melanda industri muzik dunia selepas pemergian diva paling disanjungi, Whitney Houston buat selama-lamanya.





Tarikh 11 Februari 2012 pastinya akan segar di ingatan selepas hakikatnya dunia tidak akan lagi mendengar lagu baru daripada penyanyi bersuara fenomena itu yang popular dengan rangkaian lagu-lagu hebatnya, I Will Always Love You, I Have Nothing, Saving All My Love For You, Greatest Love of All, One Moment In Time, When You Believe dan banyak lagi.



Mendiang ditemui mati di sebuah suite hotel tempatnya menginap di Beverly Hilton. Keputusan bedah siasat mengesahkan penyanyi itu meninggal akibat lemas secara tidak sengaja di samping turut disebabkan penyakit jantung yang dialaminya serta pengambilan kokain.

Meledak terus dan menjadi viral di seluruh pelusuk dunia, hanya kerana video serta lagu ‘catchy’, Gangnam Style, penyanyi Korea Selatan, Psy, menjadi bualan sehingga menjadi antara selebriti paling berpengaruh tahun ini.



Daripada bukan siapa-siapa, nasib Psy berubah sekelip mata sekalipun tidak hadir dengan pakej tampan seperti bintang K-Pop lelaki lain. Bagaimanapun, disebabkan keunikan karyanya, pengurus bintang terkenal, Justin Bieber turut terpikat untuk menandatangani serta menjadikan Psy artis naungannya.

Menjadi antara ikon pasangan kesayangan dan paling secocok, percintaan bintang Twilight, Kristen Stewart dan Robert Pattinson bergoncang hebat selepas kisah skandal Kristen bersama pengarah filem Snow White and The Huntsman, Rupert Sanders bukan lagi rahsia.

Akibatnya, Robert mengambil keputusan tegas meninggalkan kekasihnya itu namun selepas masing-masing tidak mampu menafikan mereka masih lagi tidak boleh berpisah, pasangan itu bertaut kembali November lalu dengan Robert meletakkan beberapa syarat.

Tidak ketinggalan, berita putus cinta bintang remaja paling popular, Justin Bieber dengan kekasihnya juga penyanyi, Selena Gomez, pastinya menjadi berita gembira buat peminat-peminat wanitanya yang lain.

Tiada sebab nyata berhubung perpisahan itu, namun nampaknya kedua-dua masih lagi belum puas menyulam cinta apabila mereka akhirnya kembali bersama dan semestinya mematahkan semula harapan wanita lain terhadap penyanyi Boyfriend itu.

Bukan sekadar Adele, diva serba boleh, Beyonce yang sudah tidak mampu menyembunyikan kandungannya pula membuat pengumuman rasmi sewaktu di anugerah Video Muzik MTV tahun lalu akhirnya menimang cahaya mata sulungnya bersama suami, rapper, Jay-Z iaitu Blue Ivy Carter pada 7 Januari lalu.

Penyanyi Halo itu turut dikhabarkan menyewa keseluruhan tingkat sebuah di hospital Lenox Hill, New York, sambil dikawal ketat sekuriti demi elakkan gangguan serta bagi meraikan khabar gembira berkenaan.

Mahligai perkahwinan yang dibina aktor terkemuka, Tom Cruise bersama pelakon jelita, Katie Holmes pula menemui titik noktah selepas perceraian menjadi jalan penyelesaian kepada kebuntuan perhubungan dua bintang itu.

Sudah dikhabarkan rumah tangga mereka bergoncang, ibu bapa kepada anak perempuan, Suri, itu kemudian sah memfailkan perceraian pada Ogos lalu secara pantas dan senyap sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.

Memasuki musim ke-12, program realiti nyanyian, American Idol mencetuskan kontroversi sendiri apabila dua juri terbarunya dirakamkan bertekak dan bercemuhan sesama sendiri sewaktu sesi uji bakat.

Dua juri berkenaan, diva tersohor, Mariah Carey dan bintang pop sensasi, Nicki Minaj dikatakan berbalah akibat tidak sependapat mengenai peserta. Gara-gara tidak tahan, Nicki terlepas geram kerana sejak awal lagi Mariah pula sentiasa tidak bersetuju dengan pilihan penyanyi muda itu.

Turut menerima tempias, pewaris diraja Britain, Putera William dan isterinya, Kate Middleton juga tidak terlepas daripada buruan lensa kamera. Bermula dengan penyebaran gambar putera itu berparti tanpa seurat benang di sebuah hotel suite di Las Vegas, Ogos lalu.

Tidak lama kemudian, sewaktu menghabiskan masa menikmati percutian mereka di selatan Perancis, sebuah tabloid di sana bertindak menyiarkan gambar bogelnya. Manakala, awal bulan ini, pihak istana mengesahkan pasangan itu bakal menimang cahaya mata mereka yang pertama selepas beberapa tabloid menggembar-gemburkan berita kehamilan berkenaan sebelum itu.

Sementara itu, penyanyi tampan, Justin Timberlake yang pernah bercinta dengan Britney Spears dan Cameron Diaz pula akhirnya menamatkan zaman bujangnya bersama aktres, Jessica Biel di sebuah majlis tertutup di Itali. Jelas gembira dengan ikatan itu, Jessica menyifatkan perkahwinan itu satu fantasi terindah buatnya.

Selebriti fesyen terkenal, Kim Kardashian juga kembali menjadi bualan industri selepas membuat keputusan menjalin cinta dengan rapper, Kanye West. Terkenal dengan kejelitaannya, dia yang gagal pada perkahwinan pertamanya memilih Kanye selepas bertahun-tahun mengenali rapper itu dan menyifatkan mereka sangat serasi bersama.

Juga diperkatakan, penyanyi Diamonds, Rihanna pula berani mati kembali menjalin cinta dengan bekas kekasihnya, penyanyi R&B, Chris Brown yang pernah membelasahnya tiga tahun lalu. Mereka kerap dilihat berdua sepanjang tahun ini di beberapa acara malah turut merakamkan lagu duet bersama menerusi sebuah lagu berjudul ‘Unapologetic’-Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

linkwthin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertlet 3

nuffnang

.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MELAWATI BLOG SAYA