Advertlets

PINK

snow

KESIHATAN


Stres dan Akibatnya

Keadaan atau masa yang menimbulkan stres selalu berlaku. Perkara ini tidak dapat dielakkan memandangkan gaya hidup di dunia moden yang serba pantas ini.


Adakah anda tahu mengenai pelbagai kesan stres ke atas sistem tubuh kita? Ia boleh merosakkan beberapa sistem. Ia malah mampu melemahkan tubuh kita hingga ke satu tahap di mana sistem imun berputus asa.

Daripada hanya membaca maklumat ini begitu sahaja, adalah penting untuk kita mengambil pendirian. Buatlah keputusan untuk membuat apa saja yang terdaya untuk mengurangkan kesan buruk stres. Stres boleh membunuh, justeru jangan biarkan ia membunuh anda atau orang yang anda sayangi. Individu yang mengalami stres sentiasa kehilangan tenaga yang diperlukan untuk menjalani kehidupan seharian. Jika ini berlaku, ianya boleh menyemai sikap negatif dalam kehidupan mereka. Kemurungan akan berlaku dan mencetuskan kesan negatif kepada kehidupan individu berkenaan.

Kegagalan menangani stres juga boleh membawa kesan buruk ke atas kesihatan seseorang. Lazimnya sistem imun dapat mempertahankan tubuh dari penyakit. Namun begitu, stres boleh melemahkan sistem imun. Jika ini berlaku, individu berkenaan akan lebih mudah mendapat penyakit berbahaya seperti kanser dan masalah jantung. Pada masa yang sama, jika dia sedang berhadapan dengan masalah kesihatan, ianya boleh memburukkan lagi keadaan.

Umum mengetahui penyakit jantung merupakan penyebab kematian nombor satu di dunia. Sebahagian dari simptom atau pertanda penyakit jantung mempunyai kaitan dengan stres. Peningkatan tekanan darah yang mendadak dan debaran jantung berterusan adalah antara tanda-tandanya. Berasaskan fakta-fakta tersebut, adalah penting untuk seseorang untuk berbuat sesuatu sekiranya mereka mendapati diri mereka tidak berupaya menangani stres. Mereka perlu mengatasi masalah tersebut secepat mungkin untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa stres yang boleh membunuh.

Cara Mudah untuk Mengatasi Stres

Ada beberapa langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan kesan buruk stres. Dengan mengamal langkah-langkah berikut, risiko untuk mendapat kesan buruk stres dapat dikurangkan.

1. Pemakanan yang Betul

Makan makanan yang betul membantu kita menghadapi cabaran kehidupan seharian. Pastikan anda tidak terlupa untuk makan pada waktu makan agar anda mempunyai tenaga yang cukup untuk melaksana tugas seharian. Pada masa yang sama, mengambil diet yang seimbang akan menjamin tubuh mendapat zat makanan yang diperlukan. Justeru pastikan anda mengambil makanan yang menyumbang kepada kesejahteraan anda. Ambil protein, vitamin B (B6 dan B12), asid folik dan mineral.

2. Jangan Membebankan Diri

Kadangkala seseorang itu terlalu bercita-cita tinggi dan terlupa akan kemampuan diri. Justeru penting untuk kita mengelak diri dari mengambil tugas lebih dari yang mampu dilaksanakan. Laksanakan tugas sedikit demi sedikit. Pecahkan tugas yang besar kepada beberapa tugas kecil yang boleh diselesaikan dalam tempoh yang lebih pendek. Dengan cara ini, ia akan meringankan beban tubuh dan minda kita.

3. Berehat

Jika anda selalu sibuk dan tidak cukup tidur, fikir semula baik-baik. Badan kita perlu rehat selepas bekerja untuk beberapa ketika. Justeru jangan biarkan seminggu berlalu tanpa rehat dan tidur yang nyenyak. Cubalah ambil cuti selepas melaksana beberapa siri tugas berat. Mendengar musik klasik yang baik atau mengambil masa untuk bersendirian dan merehatkan minda akan membantu kita dalam jangka masa yang panjang.

4. Berinteraksi dengan Famili dan Rakan

Adalah bagus menjadi seorang yang kuat kerja. Namun begitu jangan lupa, sebagai seorang manusia kita memerlukan sokongan orang di sekeliling kita. Pastikan anda meluangkan masa untuk melakukan aktiviti masa lapang bersama famili dan juga rakan-rakan. Ini akan menghilangkan sebarang kerungsingan yang bermain di minda. Dalam masa yang sama ianya akan menolong anda membina pandangan positif apabila anda kembali bertugas.

Stres sebenarnya boleh membunuh tetapi ianya tidak perlu begitu. Penting untuk seseorang itu mempunyai kawalan ke atas kehidupannya. Lindungi diri dan kesihatan dengan mengamalkan langkah-langkah yang akan membantu mengurus stres dengan baik.


Diet dan Senaman untuk Pengidap Kencing Manis

Cara terbaik untuk melawan penyakit kencing manis atau diabetes adalah melalui perubahan gaya hidup khususnya menggabungkan diet dengan senaman. Ini bukanlah perkara baru. Pengkaji diabetes dan para pakar selalu mengesyorkan perubahan gaya hidup sebagai senjata utama melawan diabetes. Pelbagai kajian menunjukkan kemungkinan seseorang mengidap diabetes adalah sangat rendah jika mereka bersenam dan mengamal diet yang sihat. Mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan boleh mengurangkan risiko mendapat diabetes jika mereka berjaya mengurangkan berat badan sekurang-kurangnya 10 paun.


Ini adalah berita baik untuk mereka yang mempunyai risiko sederhana atau tinggi untuk mendapat diabetes. Perubahan yang perlu dilakukan bukanlah besar atau mendadak. Mereka hanya perlu mengubah sedikit cara hidup demi untuk mengelakkan dari mendapat penyakit diabetes. Ini adalah sesuatu yang besar bagi setiap individu memandangkan ianya dapat mengawal penyakit yang sangat berbahaya.

Mereka yang obes dan mempunyai berat badan berlebihan sebenarnya mempunyai reseptor insulin yang lebih rendah dari mereka yang mempunyai berat badan normal. Ini menerangkan kenapa mereka yang mengidap diabetes biasanya berat lampau atau obes. Lemak berlebihan membuatkan tubuh individu berkenaan tidak sensitif kepada insulin. Ini bermakna individu yang berat lampau memerlukan lebih banyak insulin dari mereka dengan berat normal. Inilah sebab mengapa mengurangkan berat badan akan mengurangkan dengan banyaknya risiko mendapat diabetes.


Menukar diet: satu dari cara terbaik melawan diabetes

Kuncinya adalah menggabungkan senaman dengan diet yang betul. Diet yang betul bukanlah hanya mengurangkan pengambilan kalori. Ia termasuk mengambil makanan yang betul. Kita patut mengelakkan diri dari mengambil makanan yang kaya dengan lemak terutamanya lemak binatang. Kita juga patut mengurangkan memakan daging merah, produk tenusu dan telor. Karbohidrat yang diproses sama sekali tidak boleh. Ianya termasuk gula pasir (putih), beras putih dan gandum putih. Sebaliknya kita patut mengambil bijirin tulen seperti beras merah atau coklat dan gandum tulen.


Ada juga makanan yang mempunyai kesan seperti insulin kepada tubuh bila ianya dimakan. Sebagai contoh: timun, bawang putih, soya, germa (biji) gandum, buah avocado, kacang hijau, gandum hitam, minyak bijan, sayur-sayuran hijau dan kubis Brussels sprout. Individu yang merasakan mereka mempunyai risiko mendapat diabetes patut tingkatkan pengambilan makanan tersebut.

Pengambilan serat juga akan mengurangkan risiko mendapat diabetes. Makanan yang mengandungi serat yang tinggi biasanya mengandungi kurang gula. Mereka yang mengidap diabetes atau mempunyai risiko mendapat diabetes tidak dapat memproses gula dengan baik. Individu yang mempunyai risiko mendapat diabates patut meningkatkan pengambilan serat. Mereka patut mengambil lebih sayur-sayuran, buah-buahan, produk gandum tulen dan produk bijirin tulen. Pengambilan gula putih dan makanan yang tinggi kandungan gula putih mesti dikurangkan. Anda perlu menggantikan makanan tersebut dengan yang mengandungi serat yang tinggi.

Mereka yang ingin mengelakkan diabetes juga patut menjauhi minuman beralkohol. Alkohol akan mengurangkan tolerans glukosa terutamanya bagi mereka yang telah berumur dan mereka yang mempunyai risiko mendapat diabetes. Tambah lagi, pesakit diabetes yang meminum walau sedikit minuman beralkohol berkemungkinan besar akan rosak mata dan saraf mereka. Selain dari minuman beralkohol, merokok juga patut dielakkan untuk selamat dari mendapat diabetes. Rokok meningkatkan risiko penyakit jantung, sakit buah pinggang dan lain-lain masalah kesihatan berkaitan dengan diabetes. Perokok tegar lebih mudah mendapat diabetes dari bukan perokok. Jadi sekiranya anda merokok, berhentilah dari tabiat tersebut demi kesihatan diri dan keluarga. Jika anda tidak merokok, jauhilah diri dari tabiat tersebut.


Senaman melindungi anda dari diabetes
Kedua-dua jenis diabetes (jenis 1 dan 2) boleh dielakkan atau diperbaiki dengan selalu melakukan senaman ringan. Fakta menunjukkan individu yang mengidap diabetes jenis 1, yang selalu bersenam, memerlukan kurang insulin. Manakala individu sihat yang selalu bersenam berkemungkinan besar tidak akan mendapat diabetes jenis 2. Sebabnya bersenam mengurangkan lemak badan dan seterusnya menambahbaik darjat sensitif badan terhadap insulin.

Senaman tidak semestinya senaman berat terutamanya jika sudah meningkat usia. Senaman mudah seperti berjalan, berlari, berenang dan berbasikal dapat memperbaiki tahap gula dalam darah. Senaman memperbaiki penggunaan glukosa oleh otot-otot berkenaan. Kesannya akan kekal lebih dari dua hari. Profil lemak darah dan tekanan darah yang memberi kesan kepada diabetes juga akan bertambah baik dengan selalu bersenam.

Setiap individu, terutamanya pengidap diabetes, perlu memantau paras gula dalam darah bila melakukan senaman. Ini disebabkan senaman boleh mengurangkan dan juga meningkatkan paras gula dalam darah. Anda dinasihatkan supaya meminta nasihat doktor anda sebelum menjalani apa-apa program senaman. 

Kunci Kesihatan Sepanjang Hayat

Apabila anda sakit, anda akan berjumpa doktor. Sudah tentu doktor akan memberi anda ubat. Anda makan ubat tersebut dengan harapan anda akan sihat semula. Beginilah bagaimana perjalanan perkhidmatan kesihatan sekarang, satu kitaran diagnosa dan preskrepsi.


Anda telah mendengarnya sebelum ini tetapi saya akan mengulanginya. Pencegahan lebih baik dari pengubatan. Namun anda mungkin tidak memberi perhatian kepadanya. Walau bagaimana pun sekiranya anda melihat dengan lebih dekat saranan doktor, ia akan membawa kepada kesimpulan bahawa mereka sebenarnya ingin mengesan sesuatu penyakit dengan lebih awal. Cuba renungkan. Renungkan bahawa makna sebenar pencegahan adalah menahan sesuatu dari berlaku.

Langkah pertama ke arah kesihatan yang lebih baik untuk menyedari bahawa tubuh anda memerlukan penjagaan. Perkara kedua ialah mendapatkan maklumat. Adalah sukar untuk menjaga tubuh anda sekiranya anda tidak tahu apa-apa mengenainya. Bagaimana anda boleh melawan musuh sekiranya anda tidak memahami kenapa dan bagaimana ia bertindak?

Tahukah anda bahawa setiap dari kita dibekalkan dengan sistem pertahanan yang mampu melindungi diri kita dari sebarang penyakit? Sistem yang kompleks ini dianugerahkan kepada kita oleh yang Maha Pencipta dan dikenali sebagai sistem imun tubuh. Sistem imun tubuh bekerja pada setiap saat tanpa henti bagi
melindungi diri kita dari serangan berbagai mikro organisma yang boleh menyebabkan berbagai jenis penyakit. Serangan tersebut bukan hanya datang dari luar malah dari dalam tubuh kita sendiri. Setiap hari kita berdepan dengan serangan mikro organisma yang terdiri dari berjuta jenis bakteria, beratus ribu jenis kulat, 130 lebih parasit dan lebih dari dua ribu jenis virus. Selain dari itu terdapat lebih dari dua ratus jenis sel kanser dan setiap dari kita terdedah
kepada serangannya. Justeru dalam setiap saat kehidupan kita, yang memisahkan kita dengan kematian adalah sistem imun. Jangkitan berulang atau jangkitan kronik, walaupun hanya demam selsema merupakan tanda sistem imun sudah mulai lemah. Adakah anda juga tahu bahawa sistem imun kita menjadi semakin lemah apabila usia kita semakin meningkat? Faktor yang melemahkan sistem imun termasuklah tidak cukup rihat, stres, makanan berproses, pertanian moden (makanan hilang khasiat), bahan kimia dalam persekitaran (racun perosak, racun rumput rumpai).Memperkasakan sistem imun merupakan langkah penting untuk membina pertahanan bagi melawan penyakit dan mengurangkan kemungkinan mendapat demam, selsema, kencing manis atau kanser dll.

Sistem imun yang tidak berfungsi dengan baik, sama ada terlebih atau terkurang tindakbalas, boleh membawa kepada berbagai jenis penyakit. Sebagai contoh,
terlebih tindakbalas terhadap ancaman dari dalam boleh membawa kepada penyakit yang dikategorikan sebagai penyakit auto-imun seperti diabetes jenis 1,
artritis reumatoid, slerosis berganda dan lupus. Terkurang tindakbalas terhadap ancaman dari dalam boleh membawa kepada penyakit seperti kanser, HIV,
hepatitis dan kayap. Terlebih tindakbalas terhadap ancaman luar boleh membawa kepada penyakit di bawah kategori alahan seperti rinitis, lelah, ekzema dan sinusitis. Terkurang tindakbalas terhadap ancaman luar boleh membawa kepada infeksi.

Memperkasakan sistem imun merupakan pelaburan terbaik untuk kehidupan yang lebih panjang dan kesihatan sepanjang hayat. Ramai yang percaya bahawa makanan seimbang boleh membantu kita mengekalkan kesihatan. Apa yang sebenarnya anda faham mengenai makanan seimbang? Renungkan fakta berikut:
Di abad ini terdapat lebih 75,000 bahan kimia sintetik dalam persekitaran, yang tidak pernah wujud sebelum 1940.


Buah-buahan biasanya dipetik ketika belum masak, ini membuatkan nutrien yang tak ternilai belum sempat terhasil. Selepas dipetik, proses tersebut terhenti.


Sayur-sayuran dicemari racun makhluk perosak. Perlu dibersih berulang kali untuk membuang racun dan proses ini membuatkan nutrien hilang.


Antibiotik dan hormon pertumbuhan digunakan dalam penghasilan daging, ayam dan hasil tenusu.


Makanan diproses dengan menggunakan pewarna tiruan, perisa tiruan dan bahan pengawet.


Udara dan sumber air juga turut tercemar.

Adakah anda masih percaya yang anda boleh mendapatkan makanan seimbang?

Adakah Anda Masih Ingin Merokok?

Seperti 80% perokok yang lain, anda mungkin telah mencuba beberapa kali untuk berhenti merokok tetapi tidak berjaya. Apakah ianya terlalu lewat untuk anda berhenti? Jawapannya sudah tentu tidak.


Jika anda berhenti merokok pada umur 60 atau 80 sekalipun, masih banyak kesan buruk akibat merokok yang dapat dihentikan. Atau mungkin anda tergolong dalam 46% perokok dewasa yang tidak percaya merokok boleh membahayakan kesihatan atau pun tiada faedahnya jika anda berhenti sekarang, sudah terlewat. Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, renungi fakta berikut:
Dalam masa lapan jam selepas berhenti merokok, kadar denyutan nadi dan tekanan darah turun dan paras oksigen dalam badan anda akan naik.
Dalam tempoh 24 jam selepas berhenti, risiko serangan jantung menurun.
Selepas sebulan, peredaran darah bertambah baik, tenaga anda bertam- bah dan fungsi paru-apru anda meningkat sebanyak 30%.
Selepas setahun, risiko anda mendapat penyakit jantung menurun sebanyak 50% jika dibanding dengan mereka yang terus merokok.
Selepas 5 tahun, risiko anda mendapat strok mula menurun.
Selepas 10 tahun, kemungkinan anda mendapat kanser paru-paru adalah sama dengan mereka yang tidak pernah merokok.

Setiap kali anda menyedut, anda menyerap masuk lebih dari 4,700 bahan kimia yang telah terbukti memberi kesan buruk pada setiap inci tubuh anda. Antara kesan tidak serius ialah kulit lebih cepat berkedut, gigi dan jari menjadi kuning dan lambat baik dari luka.

Antara kesan yang sangat merbahaya ialah osteoporosis, retak pinggul, katarak, kencing manis, kehilangan gigi dan emfisema.

Di Amerika, setiap tahun sejumlah 400,000 orang meninggal dunia atas sebab yang ada kena mengena dengan merokok. 50% dari kematian tersebut disebabkan penyakit kardiovaskular dan 30% lagi oleh kanser paru-paru. Merokok membahayakan jantung anda, jika anda berhenti merokok, risiko mendapat serangan jantung menurun sebanyak 50% dalam masa setahun. Merokok juga berada di tangga teratas dalam senarai penyebab kanser.

Merokok adalah ketagihan, mudah dan jelas. Jangan salahkan diri anda jika anda telah beberapa kali cuba untuk berhenti tetapi gagal. Kandungan utama tembakau ialah nikotin dan ia merupakan dadah yang paling kuat menyebabkan ketagihan.

Adakah tiada harapan lagi? Tidak. Ramai yang telah berjaya berhenti dan anda pun boleh, jika anda mahu.

Jika anda mahu berhenti, disenaraikan beberapa cara untuk membantu anda.

Tetapkan tarikh dan patuhinya. Para pakar melaporkan bahawa mereka yang menetapkan tarikh mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk berjaya.

Elakkan dari mendapat tekanan. Banyak petua yang boleh diamalkan untuk mengurangkan tekanan.

Berhenti terus. Kalau anda ikut cara ini, anda mungkin akan mengalami sindrom tarikan untuk selama seminggu hingga 10 hari tetapi anda akan melepasi halangan.

Buang kesemuanya. Pada hari yang ditetapkan, buang semua rokok, termasuk yang tersembunyi di mana-mana. Buang pemetik api, mancis dan tempat habuk rokok.

Bersedia untuk melawan keinginan untuk merokok. Semasa anda melalui sindrom tarikan, anda mungkin mengalami gejala berikut: masalah perut, sukar memberi tumpuan, mengantuk, susah untuk tidur dan mudah marah.

Anda boleh berhenti secara beransur-ansur. Sebaik saja nikotin telah dinyah keluar dari tubuh anda, gejala sindrom tarikan akan hilang sedikit demi sedikit. Ada kemungkinan ianya tidak hilang kesemuanya kerana satu tidak pernah cukup. Jika anda merokok sebatang anda ingin sedozen ataupun lebih.

Petua untuk membantu anda:
Tukar kebiasaan anda.
Elakkan tekanan. Elakkan bekerja hingga lewat hari
Jauhkan diri dari perokok
Berikan kata-kata semangat kepada diri anda setiap hari
Buat janji dan memberi ganjaran kepada diri anda
Menyimpan duit rokok
Curi masa – lambat-lambatkan menyalakan rokok
Minum air secukupnya
Kurangkan minuman yang mengandungi kafein
Bersarapan pagi

Walaupun berhenti terus merupakan cara terbaik, namun jika anda terpaksa berhenti secara beransur-ansur, yang penting adalah untuk BERHENTI.

Anda mungkin tidak kisah dengan kesihatan atau nyawa anda, tetapi pertimbangkan kesihatan dan nyawa orang yang anda sayangi. Adakah mereka akan memaafkan anda jika mereka mendapat kesan buruk dari asap rokok yang dihembus keluar oleh anda. Renung renungkanlah.










Kebaikan Buah dan Sayur Ungu

Bila bercakap tentang amalan pemakanan sihat, jangan lupa untuk memasukkan buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna ungu dalam diet anda. Sebabnya buah-buahan dan sayur-sayuran tersebut mengandungi antosianin, ia-itu pigmen asli berwarna merah, biru dan ungu. Menurut J. Scott Smith, profesor kimia makanan dari Kansas State University, antosianin adalah baik untuk kesihatan kerana ia adalah antioksidan yang kuat dan boleh meningkatkan fungsi sistem imun, mengekalkan kesihatan dan mengelakkan penyakit.

"Kini antioksidan menjadi bualan ramai," kata Smith lagi. "Semua orang berminat dengan antioksidan kerana ia dipercayai baik untuk kesihatan."

Antosianin lebih lazim didapati dari buah-buahan berbanding sayur-sayuran, kata Smith, memerhatikan warna merah pekat dan ungu pada kulit epal dan anggur. Disebabkan antosianin sensitif kepada pH, ia akan kelihatan lebih merah atau biru bergantung kepada jenis makanan.

Antosianin biasa terdapat dalam buah beri; seperti blueberry, cranberry, raspberry, blackberry dan anggur merah (dan juga acaiberry, elderberry dan buah delima*).

"Itu sebablah mengapa orang berkata 'makan buah beri anda', kerana ia sangat baik untuk kesihatan," kata Smith.

Kata Smith lagi, ekstrak makanan yang mengandungi antosianin juga baik untuk kesihatan. Trend terkini industri makanan adalah menggunakan warna asli bagi menggantikan warna tiruan. Antosianin boleh diekstrak dari buah-buahan atau sayur-sayuran dan digunakan sebagai pewarna asli dalam makanan.

Wain merah diperbuat dari anggur, oleh itu ia juga mengandungi antosianin. Selain itu ia juga mengandungi resveratrol, sejenis antioksidan dan baik untuk kesihatan jantung.

Menurut Smith lagi, terdapat beberapa makanan ungu yang tidak begitu dikenali juga mengandungi antosianin. Sejak berkurun penduduk Amerika Selatan menanam jagung ungu. Terdapat juga bunga kubis ungu dan karot ungu.

Warna merah pekat dan ungu pada ubi bit bukan disebabkan oleh antosianin, kata Smith. Warna ungu pada ubi bit datangnya dari pigmen betalen, yang menggantikan antosianin dalam sesetengah pokok. Betalen juga adalah antioksidan yang baik untuk kesihatan.

Dipetik dari: HealthNewsDigest.com

Nota: * dipetik dari sumber lain.

Produk 4Life RioVida mengandungi antioksidan (antosianin, asid klorogenik, elagitanin, dan flavonoid) yang tertinggi dalam kategori pemakanan tambahan. Ia juga mengandungi transfer factor cecair.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

linkwthin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Advertlet 3

nuffnang

.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MELAWATI BLOG SAYA